MYNEWSHUB@mynewshub
Polis Siasat Pergaduhan Pemilik Dua Myvi
KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat insiden pergaduhan melibatkan beberapa individu yang menaiki dua buah kereta Perodua Myvi di Petaling Jaya, Selangor, selepas video kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, memaklumkan bahawa pihaknya mengesan video tersebut pada Selasa lalu sekitar jam 2.40 petang.
“Rakaman berkenaan menunjukkan beberapa individu keluar dari dua buah Myvi sebelum terlibat dalam pergaduhan.
“Hasil semakan oleh Pusat Media Kontinjen Selangor mendapati satu laporan polis telah dibuat mengenai kejadian itu, dan siasatan sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar menjaga tingkah laku serta mengelak daripada melakukan perbuatan yang melanggar undang-undang.
Selain itu, polis menasihati masyarakat supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat atau belum disahkan berkaitan kejadian tersebut. - MYNEWSHUB