MYNEWSHUB@mynewshub
MCA Minta Tidak Dijadikan Isu Perkauman, Sesiapa Sahaja Boleh Jadi Mangsa Pemandu Mabuk
Oleh Mynewshub
KUALA LUMPUR – Naib Presiden MCA, Datuk IR Lawrence Low menggesa tindakan serius diambil terhadap isu pemandu mabuk serta mereka yang memandu di bawah pengaruh dadah, namun menegaskan perkara itu tidak wajar dijadikan isu perkauman.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Amirul Hafiz Omar, penunggang motosikal yang maut selepas dirempuh seorang lelaki dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan positif dadah di Jalan Raya Barat, Klang, semalam.
"Ini bukanlah isu perkauman, kerana sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa dan terkorban disebabkan pemandu mabuk, dipengaruhi dadah serta mereka yang tidak bertanggungjawab memandu secara melulu serta merbahaya.
"Nyawa manusia tiada galang gantinya. Keselamatan pengguna jalan raya lain tidak patut dipertaruhkan dek kerana kecuaian pihak lain. Tindakan tegas, konsisten dan berterusan daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) serta agensi berkaitan perlu diperkasakan, bukan bersifat reaktif hanya selepas berlakunya tragedi," katanya dalam satu kenyataan.
Lawrence berkata, ketika Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menerajui MOT, isu berkenaan diberi keutamaan melalui pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi memperketat hukuman di bawah Seksyen 41 hingga Seksyen 45.
Menurut beliau, pindaan itu bukan sekadar cadangan, malah telah diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum diperkenan Yang di-Pertuan Agong serta dikuatkuasakan pada 23 Oktober 2020.
Beliau berkata, pendekatan ketika itu tidak hanya tertumpu kepada hukuman, malah melibatkan kempen kesedaran berskala besar bagi mendidik masyarakat tentang bahaya pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah serta pemanduan melulu.
Tambah beliau, semasa proses pindaan Akta 333, sesi libat urus turut diadakan termasuk bersama Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao bagi mendapatkan pandangan pelbagai pihak.
Katanya, majlis tersebut bersetuju bahawa aspek perundangan dan pendidikan perlu bergerak seiring bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya pemanduan di bawah pengaruh bahan terlarang.
Justeru, beliau menggesa kerajaan ketika ini khususnya Kementerian Pengangkutan yang diterajui Menterinya, Anthony Loke supaya mengambil langkah susulan yang lebih berkesan.
Beliau turut membangkitkan beberapa persoalan termasuk sama ada penguatkuasaan masih dilaksanakan secara konsisten serta sama ada kempen kesedaran yang diperkenalkan sebelum ini telah dihentikan selepas pertukaran kerajaan.
"Anthony Loke perlu tampil ke hadapan dan menjawab persoalan-persoalan ini. Adakah tiada penguatkuasaan dijalankan?
"Adakah kempen kesedaran awam mengenai bahayanya pemanduan yang dipengaruhi dadah atau alkohol yang digerakkan pada tahun 2020 dihentikan setelah pertukaran kerajaan?," katanya. - MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial MCA