i.am.aldrinng retweetledi

Kerajaan Negeri Selangor menyambut positif pemakluman Menteri Kesihatan Malaysia, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berkenaan persetujuan lokasi tapak yang dicadangkan untuk pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya.
Keputusan ini adalah susulan daripada mesyuarat penyelarasan terkini pada 14 Mei 2026 melibatkan agensi Persekutuan, Negeri, dan Pihak Berkuasa Tempatan.
Pengumuman tersebut memperlihatkan kerjasama utuh peranan kedua belah pihak serta memberikan pencerahan kepada kaedah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mencapai kata putus perihal kesihatan awam khususnya dalam aspek pembinaan serta pengoperasian hospital seperti yang termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Usaha mencari tapak bagi hospital awam Petaling Jaya telah digerakkan secara lebih aktif oleh Kerajaan Negeri semenjak tahun 2018 dengan mengambil kira peningkatan penduduk di Daerah Petaling yang kini mencecah 2.3 juta. Di Petaling Jaya sahaja terdapat lebih 800,000 penduduk.
Sehingga kini, penduduk sekitar Daerah Petaling bergantung kepada Hospital Sungai Buloh berkapasiti 1,037 katil, Hospital Shah Alam berkapasiti 490 katil dan Pusat Perubahan Universiti Malaya berkapasiti 946 katil yang diuruskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri telah bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengatasi isu akses dan kesesakan hospital awam di kawasan lain seluruh Selangor.
Misalnya, Hospital Cyberjaya dan Hospital Tanjong Karang yang masing-masing berkapasiti 288 katil dan 150 katil dibina siap pada tahun 2022 oleh KKM dengan kerjasama Kerajaan Negeri bagi hal urusan tanah.
Tambahan kepada itu, Hospital Kapar dengan kapasiti 312 katil dijadualkan siap pada akhir tahun ini dan bakal mengurangkan kesesakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang serta Hospital Shah Alam.
Lokasi tapak Hospital Petaling Jaya yang diterima oleh KKM amat bertepatan dengan keperluan penduduk Petaling Jaya, terutamanya dari segi akses, kapasiti, kos tanah, dan jarak berdekatan dengan penduduk tempatan.
Tambahan kepada itu, lokasi tersebut membolehkan Hospital Petaling Jaya dengan kapasiti 500 katil dapat didirikan dengan konsep vertikal seperti yang dilaksanakan di Hospital Ampang tanpa perlu bergantung kepada tanah yang terlalu luas dan akan mengoptimumkan kos bagi KKM.
Dalam lawatan tapak yang akan dilaksanakan segera oleh KKM minggu ini, agensi dan pegawai Kerajaan Negeri akan bersama termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Pejabat Daerah Petaling.
Kerajaan Negeri Selangor bersedia memudahcara dan menyegerakan proses urusan tanah supaya pembinaan Hospital Petaling Jaya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dapat membawa manfaat penduduk Daerah Petaling, khususnya Petaling Jaya, Subang Jaya, dan Puchong.
DATO’ SERI AMIRUDIN SHARI
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
27HB MEI 2026



Indonesia




























