
Hari ini 43 tahun yang lalu, larangan terhadap orang Islam Malaysia untuk memasuki kasino di Genting Highlands dikuatkuasakan, menurut Arkib Negara Malaysia. Pusat perjudian di Genting Highlands mendapat lesen pengoperasiannya pada 1969, tahun yang sama selepas batu asas pembinaan hotel tanah tinggi itu diletakkan. Hotel pertama di Genting Highlands itu, diberi nama Highlands Hotel, siap pada 1971. Polemik pentadbiran Islam pada akhir 70-an/awal 80-an membawa kepada pengumuman pada September 1982 bahawa kasino Genting akan ditutup & langkah pertama bermula dengan larangan terhadap orang Islam daripada masuk ke sana. Menjelang Januari 1983, pekerja-pekerja beragama Islam dikeluarkan dari kasino itu secara berperingkat. Pada 1 Jun 1983, diisytiharkan bahawa orang Islam tak lagi boleh memasuki kasino Genting bermula 8 Jun itu. Menteri Besar Pahang ketika itu Datuk Najib Razak memaklumkan bahawa Sultan Pahang, yang juga YDP Agong ketika itu, telah menandatangani surat perintah untuk langkah itu dilaksanakan. Larangan itu dikuatkuasakan oleh kakitangan pemeriksa dari Jabatan Agama Islam Pahang bersama pengurusan Genting. Pemeriksa ditempatkan di pintu masuk untuk memeriksa kad pengenalan pengunjung yang mahu memasukinya & dalam kasino sepanjang ia dibuka. Menurut laporan juga, papan tanda larangan dirancang untuk dipasang & sesiapa yang didapati melanggar undang-undang ini boleh dikenakan denda sehingga $250, atau 3 bulan penjara, atau kedua-duanya sekali. Pada peringkat awal penguatkuasaan larangan ini, hanya orang Islam warganegara Malaysia sahaja yang diharamkan daripada memasuki pusat perjudian tanah tinggi tersebut, memandangkan sukar untuk mengenal pasti warganegara asing beragama Islam. Pusat perjudian di Genting Highlands adalah satu-satunya kasino yang sah di negara ini. Kini di dalamnya ada 2 cawangan kasino utama, Genting Casino (di Genting Grand Complex) & SkyCasino (di SkyAvenue Mall). *Gambar: Keratan akhbar The Straits Times bertarikh 1 Jun 1983 yang memetik laporan Bernama. Sumber: Arkib Negara Malaysia, MIngguan Malaysia, The Straits Times, Bernama, Genting, Hulutrip #PeristiwaHariIni




























